SIMPAN 3 BULAN PENDAPATAN, LABUR SELEBIHNYA

Harga emas naik, kami senyum. Harga emas turun, kami senyum. Harga emas turun lebih banyak dari harga kami beli, kami senyum lagi. Antara harga naik dengan turun, kami lebih suka harga emas turun sebab peluang beli emas harga rendah. Seronoknya tengok harga emas turun sama macam seronoknya kalau harga rumah turun.

Walaupun kami senyum, kami risaukan penyimpan-penyimpan emas yang lain terutamanya mereka yang beli emas dengan pihak kami atau pun mereka yang dapatkan nasihat daripada pihak Emas Mahsuri tentang pelaburan emas. Apalah nasib mereka. Bukan semuanya tersenyum macam kami sebab ada yang beli emas sebab kumpul harta, ada yang nak buat koleksi, ada yang nak buat maskahwin dan yang paling ramai sebab nak jual bila harga emas naik.

Orang Paling Risau Harga Turun

Dalam ramai-ramai tu, orang yang paling risau harga emas turun ialah siapa yang tak ada simpanan tunai. Harga emas turun boleh menganggu tidur malam sebab hanya itu sahaja simpanan yang dia ada. Bila nak pakai duit, terpaksa jual emas itu atau pajak di ar-rahnu.

Sebab itu kami selalu syorkan, sebelum membeli emas, pastikan ada simpanan tunai at least 3 bulan pendapatan dulu sebagai Dana Kecemasan. Kalau harga emas turun banyak mana sekalipun, kita tidak perlu risau sebab kita bukan nak pakai duit yang kita laburkan tu. Kalau terdesak sekalipun, kita sudah ready duit tunai. Tidak lah sampai kena jual emas kalau kereta rosak.

Simpan 3 Bulan Pendapatan, Labur Selebihnya

Sebenarnya, ini antara disiplin penting sebelum melabur dalam apa-apa pelaburan sekalipun. Ramai pakar syorkan simpan sekurang-kurangnya 6 bulan pendapatan (gaji kasar) sebelum meletakkan duit dalam mana-mana pelaburan sekalipuntetapi untuk pembeli emas, bagi saya 3 bulan sudah memadai sebab EMAS ADALAH DUIT. Bila-bila masa nak pakai duit, boleh tukar sahaja emas tu kepada duit samada (1) jual atau (2) pajak di ar-rahnu. Boleh dapat duit on the spot. Emas sangat ‘cair’, bukan macam hartanah atau lain-lain pelaburan yang perlukan masa untuk jual.

Jadi adakah perlu betul-betul cukup simpanan 3 bulan dulu baru beli emas?

Memang itu paling baik tapi saya tahu, bukan ramai orang yang dah ready dengan simpanan 3 bulan pendapatan. Bahkan ramai orang ada masalah lain kalau tidak membeli emas iaitu masalah kebocoran wang. Belum sempat cukup simpanan 3 bulan pendapatan, duit itu ‘bocor’ dibelanjakan. Tukar gajet baru, tukar langsir baru, tukar sport rim baru walaupun sport rim lama berfungsi dengan baik, tukar perabot baru dan macam-macam lagi bocor pada perkara yang bukan perlu.

Kalau Takut Kebocoran Wang

Jadi kalau anda risau masalah itu, saya syorkan beli dulu coin 1 dinar sebagai motivasi menyimpan emas dan mengumpul harta. Lepas tu baru cukupkan simpanan 3 bulan pendapatan. Biasanya orang yang mula simpan emas, dia lebih bermotivasi untuk kumpul harta. Bila dah beli emas, dia rasa nak beli lagi. Bila nak pakai duit, dia rasa sayang nak jual. Kalau terpaksa jual, dia akan cari duit lain untuk beli balik emas tu. Itulah tabiat biasa yang kami nampak pada penyimpan emas selama 3 tahun.

Sebab itu ada orang kata, emas adalah “magnet kekayaan”. Bukan sebab harga emas itu melambung-lambung, tetapi ia membuatkan penyimpannya ‘bernafsu’ untuk kumpul lebih banyak emas. Sebab manusia memang sukakan emas!

Wallahu a’lam.