Emas Sebagai Simpanan Belanja Hangus

Ada sebahagian penyimpan emas menjadikan emas sebagai simpanan untuk belanja hangus. Jika ada keperluan belanja hangus, emas itu sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman daripada ar-rahnu.

 

Sebagai contohnya, kita memerlukan RM1,000 untuk perbaharui cukai jalan dan insuran. Maka emas boleh dipajak untuk mendapatkan pinjaman ar-rahnu mengikut jumlah yang diperlukan. Kemudian, bayar balik pinjaman boleh dibayar balik secara ansuran sehingga selesai. Persoalannya, adakah kaedah begitu berbaloi?

 

Caj Ar-Rahnu Mahal

Pada pandangan kami, kaedah begitu MERUGIKAN dari sudut KIRA-KIRA kerana caj upah simpan ar-rahnu itu mahal. Cajnya sekitar 1.15% sebulan atau 13.80% setahun! Ianya murah sedikit sahaja berbanding kad kredit.

Cara yang lebih baik sebenarnya ialah dengan membuat bajet untuk apa-apa perbelanjaan masa depan. Kemudian, buatlah simpanan tetap setiap bulan khas untuk perbelanjaan tersebut. Prinsipnya, simpan dahulu baru belanja. Bila sampai masa baru keluarkan duit simpanan itu untuk dibelanjakan.

WALAUBAGAIMANAPUN, kaedah begitu MENGUNTUNGKAN dari sudut PSIKOLOGINYA untuk sesetengah orang, kerana akhir sekali, urusan perbaharui cukai jalan dan insuran selesai, dan emas pun dapat balik. Dan kekayaan mereka sebenarnya tidak hilang begitu sahaja kerana mereka meletakkan target untuk tebus semula emas yang dipajak itu.

Untung Dari Sudut Psikologi

Kaedah begitu sebenarnya boleh juga dianggap “simpan dahulu baru belanja”, tetapi simpanan itu dibuat dalam bentuk emas. Duit yang disimpan dalam bentuk emas lebih bertahan dari ‘kebocoran’ berbanding simpan didalam akaun bank. Jika tidak membeli emas, mungkin duit simpanan tersebut akan sentiasa ‘bocor’, atau akan terus hangus disebabkan perbelanjaan hangus itu tidak lagi berganti.

Kaedah begini adalah lebih baik berbanding ambil pinjaman peribadi di bank apabila terdesak perlukan duit. Jadi lebih baik simpan dahulu (walaupun dalam bentuk emas), belanja kemudian.