Emas Penyelamat Dari Kejatuhan Ringgit

Post image for Emas Penyelamat Dari Kejatuhan Ringgit

Tahun 2015 telahpun berlalu. Persoalannya, tahun 2015 adakah harga naik atau turun? Jika kita lihat pada graf harga emas DUNIA, harga emas sebenarnya jatuh. Harga tertinggi pada awal tahun sekitar USD1,300.70 dan turun pernah serendah USD1,050.80 pada akhir tahun. Kejatuhan sekitar 19% atau secara puratanya, sekitar 10.7%. Maksudnya, siapa beli awal tahun dan jual akhir tahun, dia mengalami kerugian!

Tetapi realiti di MALAYSIA tak begitu. Awal tahun 2015, harga emas sekitar RM140 per gram, bahkan pernah cecah RM135 per gram. Pada bulan Disember 2015, harga emas di Malaysia menutup tirai sekitar RM160. Ia kelihatan untung. Persoalannya kenapa?

harga-emas-dunia-2015

Harga emas dunia turun sekitar 10.7% tahun 2015

Faktor utama pergerakan songsang harga emas dunia dan Malaysia adalah disebabkan RINGGIT telahpun jatuh sekitar 35% pada tahun 2015. Ribut ekonomi dan politik yang berlaku kepada negara kita tahun 2015 menyebabkan harga emas Malaysia tidak jatuh sebagaimana harga emas dunia, bahkan harga emas semakin naik. Maksudnya, emas mempertahankan kekayaan kita dari terus susut disebabkan kejatuhan ringgit.

kejatuhan-ringgit-10-tahun-2015Ringgit jatuh 35% tahun 2015 ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun. Pernah mencecah RM4.40/USD.

Emas Sebagai Penyelamat Nilai

Salah satu sebab kenapa kami menggalakkan menyimpan emas ialah untuk lindungi kekayaan dari hilang disebabkan kejatuhan ringgit. Kalau kita toleh ke belakang, ringgit pernah jatuh 50% semasa negara dilanda krisis ekonomi 1997! Selepas kejatuhan ringgit itulah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mula membuka mulut tentang emas dan mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan syiling emas pertama negara iaitu Kijang Emas.

Hampir kesemua pakar emas cenderung mengatakan emas itu ialah SIMPANAN. Fungsi utamanya ialah sebagai penyelamat nilai, bukan sebagai PELABURAN yang boleh berkembang nilainya. Cuma bila nak diistilahkan sebagai “simpanan”, ramai orang akan ‘keliru’. Jadi istilah “pelaburan” lebih selesa digunakan.

Emas sebenarnya alternatif bagi simpanan duit, sebab duit kertas yang kita gunakan pun asalnya disandarkan kepada emas. Kalau kita kaji betul-betul sejarah emas, 1400 tahun dulu (zaman Nabi Muhammad s.a.w), 1 dinar mampu beli satu atau dua ekor kambing (bergantung kepada saiz dan jenis kambing). Tetapi hari ini, 1 dinar (harganya sekitar RM700) masih mampu beli satu atau dua ekor kambing juga, ia tak menjadi 10 atau 100 ekor kambing!

Maksudnya, kuasa beli emas bersifat KEKAL walauapapun berlaku kepada ekonomi dan politik dunia. Pendek kata, kalau simpan emas, kekayaan kita tak akan susut atau hilang.

1-dinar-1-ekor-kambing1 dinar mampu beli seekor kambing sejak 1400 tahun dahulu sampai sekarang. Berbeza dengan duit kertas. 30 tahun dahulu, anak-anak sekolah mampu makan kenyang di kantin sekolah dengan hanya berbekalkan duit 50 sen. Tetapi sekarang, sekurang-kurangnya RM3.00 sehari. Nombornya bertambah, tapi kuasa beli berkurangan.

Kepentingan Emas Dalam Kewangan

Jadi kalau nak dikelaskan, emas boleh dikelaskan sebagai SIMPANAN, ia bukan PELABURAN dalam erti kata sebenar. Ia tak membuatkan kekayaan kita BERKEMBANG. Fungsi utamanya melindungi kekayaan kita daripada hilang disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan politik (dan juga gangguan emosi).

Dalam merancang kewangan, ada duit yang perlu disimpan, dan ada bahagian yang perlu dilaburkan supaya berkembang nilainya. Bukan semua duit perlu dilaburkan. Walaupun nampak lebih bijak kalau semua duit lebihan digunakan untuk “PELABURAN” tetapi kita juga berhadapan risiko PELEBURAN!

Tujuan utama menyimpan emas ialah untuk SELAMATKAN nilainya. Biar tak berkembang pun tak apa simpanan itu, yang penting, kuasa belinya tak hilang sebagaimana duit kertas. Untuk kembangkan nilai, gunakan duit lain yang dikhaskan untuk pelaburan lain. Sebelum kita bercakap KEMBANGKAN nilai, bukankah lebih bijak kita adakan bahagian yang boleh SELAMATKAN nilainya dahulu?

Berapa Banyak Perlu Simpan Emas?

Cadangan kami, selepas cukupkan simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan dalam bentuk tunai di bank seperti Tabung Haji atau ASB, emas boleh dijadikan simpanan tambahan untuk mencukupkan menjadi 6 bulan pendapatan atau lebih. Duit dalam Tabung Haji atau ASB itu terjamin dari sudut NOMBORNYA, tetapi simpanan EMAS terjamin dari sudut NILAINYA dalam jangka panjang.

Simpanan emas ada risiko HARGA naik turun, tetapi Tabung Haji dan ASB juga ada risiko NILAINYA naik turun. Kadang-kadang kita rasa simpan duit dalam Tabung Haji dan ASB lebih selamat dan tak ada risiko, tetapi sebenarnya itu silap. Duit Tabung Haji dan ASB pun menyusut juga (walaupun nombornya kekal) terutamanya disebabkan inflasi dan kejatuhan ringgit. RM10,000 hari ini pastinya tak sama nilainya berbanding 10 tahun akan datang. Ia makin mengecil.

Jadi kami berpegang kepada nasihat pakar kewangan Tuan Azizi Ali, 5% – 10% kekayaan kita perlu disimpan dalam bentuk emas pada setiap masa. Kalau kekayaan kita RM100,000, maksudnya RM10,000 perlu disimpan dalam bentuk emas. Duit selebihnya, laburlah ditempat lain yang kita mempunyai ilmu tentangnya untuk tujuan KEMBANGKAN kekayaan itu.

Menyimpan emas mungkin tak membuatkan kita kaya raya, tetapi yang pastinya, emas melindungi kita dari jatuh miskin!

Wallahu a’lam.